Ayah Saya Bukan Pembunuh - Nooryana Najwa

Anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa mendakwa cubaan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia Cif Inspektor Azilah Hadri mengaitkan ayahnya dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu adalah satu fitnah.

Dalam catatan di laman Instagramnya, Nooryana berkata, fitnah itu adalah cubaan untuk mengaburi mata masyarakat daripada ketidakcekapan pihak tertentu.

“Dan siapakah yang akan menjadi mangsa terbesar kepada permainan fitnah dan pengkhianatan yang tidak berkesudahan ini kalau bukan rakyat, anak-anak dan cucu-cucu kita?

“Adakah kita akan terus membiarkan penipuan menjadi asas amalan baharu dalam negara ini,” tulisnya lagi.

Terdahulu, Azilah dalam satu surat akuan bersumpah mendakwa Ahli Parlimen Pekan itu memberikan arahan “shoot to kill” kepada beliau untuk membunuh Altantuya.

Susulan dakwaan itu, Najib mendakwa ia adalah fitnah, kerana proses perbicaraan dari Mahkamah Tinggi hingga ke Mahkamah Persekutuan langsung tidak mensabitkan beliau dalam jenayah . - Astro AWANI