Powered by Blogger.

Saturday, November 16, 2019

Rogol Rakan Sekolah Berusia 14 Tahun, 7 Remaja Bebas Dengan Jaminan Polis


Tujuh pelajar lelaki yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes rogol akan dibebaskan dengan jaminan polis esok bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas, berkata pihaknya menyelesaikan siasatan kes berkenaan dan tidak berhasrat untuk melanjutkan tempoh tahanan reman tujuh pelajar itu yang akan tamat esok.

"Polis juga mengambil kira kesemua mereka ini akan terlibat dengan peperiksaan Sijil SPM tahun ini, kami akan bebaskan mereka dengan jamin polis dahulu.

"Mangsa juga sudah menjalani rawatan pemeriksaan di hospital," katanya.
Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Fun Ride dan Fun Run PDRM Tawau hari ini.

Peter berkata polis akan menyiapkan kertas siasatan dan jika terdapat bukti kukuh, pertuduhan akan dilaksanakan di mahkamah pada satu tarikh yang ditetapkan selepas peperiksaan SPM tamat.

Semalam media melaporkan tujuh pelajar lelaki berusia 17 tahun ditahan reman selama tiga hari kerana disyaki merogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dari sekolah yang sama.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah bilik di sekolah berkenaan.

Berkaitan program hari ini, Peter berkata ia merupakan platform sesuai bagi mengeratkan hubungan antara polis dengan komuniti setempat dalam usaha mencegah jenayah.

Justeru, katanya, masyarakat harus bertindak sebagai mata dan telinga kepada polis dalam melakukan pencegahan jenatah di kawasan petempatan masing-masing.

Selain menghubungi balai polis terdekat, katanya, orang awam juga boleh menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) iaitu menyalurkan maklumat jenayah menerusi kaedah digital.

Seramai 600 peserta mengambil bahagian acara Fun Ride serta Fun Run PDRM Tawau sempena program community policing dilaksanakan polis daerah tersebut. - Bernama