Polis Indonesia Sahkan Penyokongnya Cedera Akibat Senjata Tajam


PETALING JAYA: Polis Indonesia mengesahkan seorang penyokong warganegaranya cedera akibat senjata tajam pada perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia, Selasa lalu.

Ketua Biro Penerangan Masyarakat Polis, Argo Yuwono bagaimanapun berkata kejadian itu berlaku pada Isnin, sehari sebelum perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Memang benar ada warga negara Indonesia yang sebelum perlawanan, tangannya terkena senjata tajam,” katanya memetik laporan Kompas.

Argo juga tidak mengulas lanjut jumlah warganegaranya yang cedera atau mendedahkan identiti mangsa.

Tambahnya, kes tersebut kini sedang disiasat polis Malaysia.

“Tentunya kes ini sudah ditangani polis Malaysia dan menggunakan undang-undang di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, kedutaan besar Indonesia di Kuala Lumpur mendakwa ada penyokong bola sepaknya dipukul oleh penyokong negara ini pada perlawanan tersebut.

“Memang betul ada insiden memukul penyokong Indonesia dan pasportnya dirampas. Tapi itu sehari sebelum pertandingan.

“Dia sudah datang kepada kami untuk minta perlindungan. Sayangnya, ketika dihubungi lebih lanjut, individu mungkin sudah kembali ke Indonesia,” kata jurucakap kedutaan, Yusro Ambardi.

Semalam, Pejabat Menteri Belia dan Sukan membuat laporan polis bagi menyiasat kesahihan video yang dikatakan memaparkan penyokong Indonesia dipukul penyokong Malaysia. - Free Malaysia Today