4 Gambar: Myvi Dihempap Treler, Dua Remaja Maut Di Lebuh Raya Utara Selatan


Dua rakan karib maut setelah kereta yang mereka naiki dihempap sebuah treler membawa bahan kimia dari arah bertentangan di Kilometer 204.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara kira-kira 7.45 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguat Kuasa Trafik Melaka, Supt Hassan Basri Yahya, berkata mangsa dipercayai dalam perjalanan untuk menjalani latihan industri di ibu negara. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian.
 

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk menjalani bedah siasat.

"Mangsa dikenali sebagai Ahmad Daniel Ruzwan Iskandar Mohd Ali dan Muhammad Lukman Haqim Mosyazid, masing-masing berusia 19 tahun," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Hassan Basri memberitahu dalam kejadian itu enam kenderaan terbabit dan enam mangsa lain mengalami kecederaan, iaitu dua dewasa dan tiga orang kanak-kanak, selain pemandu treler yang mengalami kecederaan ringan.
 

Katanya semua mangsa diberikan rawatan di Hospital Alor Gajah.

Menurut Hassan Basri treler terbabit - yang datang dari arah Seremban - terbabas sebelum memasuki lorong bertentangan lalu merempuh lima kenderaan.

Beliau berkata pihak bomba terpaksa menguna dua kren bagi memindahkan treler yang menghempap kereta jenis Myvi, sebelum memotong kereta tersebut untuk mengeluarkan mangsa.
 

"Pemandu treler terbabit akan direman selain ujian saringan air kencing dan sampel darah turut diambil," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Bernama