Skip to main content

Tidak Puas Hati Tayar Kereta Dikunci


KUALA LUMPUR - Lelaki yang bertindak memukul seorang pengawal keselamatan kondominium di Setapak semalam kerana tidak berpuas hati tayar keretanya dikunci ditahan polis bagi membantu siasatan.

Lelaki berkenaan yang meletakkan kenderaan di ruang parkir orang kelainan upaya (OKU) bertindak membelasah pengawal keselamatan warga Nepal dengan kayu golf.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pengawal keselamatan berusia lingkungan 30-an terbabit cedera di lengan dan telinga akibat dipukul suspek.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata sebelum kejadian mangsa yang mendapati terdapat sebuah kereta jenis Honda Jazz diletakkan di ruang parkir OKU bertindak mengunci tayar kenderaan itu pada jam 1.30 petang.

Menurutnya, selepas hampir setengah jam, mangsa didatangi dua lelaki yang memintanya membuka kunci berkenaan.

Namun mangsa tidak menuruti kehendak suspek dengan menyatakan perlu membayar denda di pejabat pengurusan terlebih dahulu.

"Suspek dan rakannya tidak mempedulikan kata-kata pengawal keselamatan itu dan cuba merosakkan kunci tersebut meskipun ditegur mangsa supaya tidak melakukan perbuatan itu.

"Tiba-tiba suspek berambut oren terus memarahi mangsa dan menumbuk muka mangsa. Suspek yang sama mengambil kayu golf dari but kereta dan terus memukul lengan kanan dan muka mangsa," katanya.

Rajab berkata, rakan suspek cuba meleraikan kejadian yang turut disaksikan beberapa orang awam lain.

Menurutnya, mangsa yang cedera berlumuran darah di bahagian lengan tangan kanan dan luka telinga kanan kini masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata, susulan itu polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Hasil pemeriksaan suspek didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah," katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video menunjukkan seorang pengawal keselamatan berlumuran darah di sebuah kawasan parkir kereta.

Dalam video berdurasi 1 minit 4 saat itu, mangsa dirakam dipukul seorang lelaki di lokasi sebelum insiden dilihat dileraikan seorang lelaki lain. - Sinar Harian




Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...