Pau Duit Warga Asing, "Dia Bukan Kakitangan DBKL" - Jurucakap DBKL.


Susulan kejadian seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai seorang penguatkuasa dan bertindak kasar terhadap seorang warga asing kerana keengganannya membayar wang yang di minta bukanlah seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jurucakap DBKL telah mengesahkan perkara itu selepas video rakaman kejadian tersebut menjadi tular di media sosial.

Pihaknya telah melakukan semakan serta siasatan sebaik sahaja tersebarnya penularan video rakaman berdurasi 56 saat tersebut yang memaparkan kekasaran seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai penguatkuasa DBKL terhadap seorang warga asing.

Menurutnya lagi, kebiasaannya penguatkuasaan akan dilakukan secara berkumpulan dan jika terdapat anggota yang tidak memakai uniform maka mereka akan turut bersama dengan mereka yang memakai baju uniform ketika menjalankan tugas.

Video kejadian tersebut telah dikongsikan oleh pengguna Facebook, Tia Fatehah yang mendedahkan punca pergaduhan tersebut bermula apabila lelaki DBKL tersebut meminta wang sebanyak RM5 daripada peniaga yang menjual di kaki lima.

Disebabkan peniaga tersebut enggan membayar wang tersebut menyebabkan lelaki DBKL itu bertindak kasar terhadap peniaga, memukul, menampar, herdik, memarahi serta menendang kotak barang jualan peniaga tersebut.

Melalui video tersebut jelas kedengaran suara lelaki itu memberitahu, "Saya ada kad kuasa tahu tak, kau tahu aku siapa? Aku penguatkuasa. Kau tunggu kejap, aku panggil lori".