4 Gambar: 'Komisioner Polis' Ditahan


KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang gambarnya viral memakai ‘ves keselamatan’ dengan lambang dan pangkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika hadir dalam satu majlis keagamaan di Taman Wahyu, Gombak dekat sini, malam tadi.

Lelaki berusia 53 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi, oleh sepasukan anggota polis di perkarangan Balai Polis Jinjang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata lelaki itu menyerahkan sehelai ‘ves keselamatan’ bertulis Persatuan Kepolisan Komuniti Kuala Lumpur & Selangor (PKKKLS) berwarna hijau.

“Lelaki itu turut menyerahkan sepasang lencana pangkat Komisioner Polis (CP) yang dipasang pada ves berkenaan.

“Hasil siasatan, kita mendapati lencana pangkat itu ditempah di sebuah kedai jahit di Gombak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mazlan, lelaki itu hadir ke majlis keagamaan terbabit atas jemputan Setiausaha Persatuan yang menetap di Taman Wahyu.

“Kita sedang jalankan siasatan lanjut termasuk menyiasat ahli-ahli lain PKKKLS yang turut hadir pada majlis itu dan merekod keterangan saksi bebas serta aspek siasatan lain.

“PDRM memandang serius perkara ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan berlakunya penyamaran yang mengakibatkan kekeliruan kepada orang awam,” tambah Mazlan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 iaitu memiliki, membuat, menjual atau membekalkan secara haram peralatan yang dibekalkan kepada pegawai polis dan penggunaan pakaian seragam polis tanpa kebenaran.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu memiliki secara haram barang-barang kepunyaan askar, tentera laut, tentera udara atau polis.

Dalam pada itu, Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Hari ini, viral beberapa keping gambar lelaki terbabit bersama seorang lagi individu memakai ‘ves keselamatan’ dengan lambang polis serta pangkat CP di bahagian kiri dan kanan bahu ves dalam sebuah majlis yang dipercayai berlangsung, baru-baru ini. - Berita Harian Online