Powered by Blogger.

Tuesday, September 10, 2019

Dituduh Bawa Mulut, Pelajar Ditumbuk Dan Ditendang 7 Remaja

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR Gara-gara bawa mulut, seorang pelajar lelaki cedera ditumbuk dan ditendang oleh sekumpulan remaja dalam kejadian di kolam renang di sebuah Apartment di Wangsa Maju dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa yang sedang barbeku bersama rakannya di kolam renang terbabit telah didatangi oleh tujuh remaja lelaki.

Seorang daripada mereka yang dikenali mangsa kemudiannya bertindak memukul dan menendang mangsa secara tiba-tiba kerana mendakwa pelajar terbabit telah membuat cerita mengenai dirinya.

Setelah itu, kesemua remaja berkenaan bertindak melarikan diri sebelum mangsa tampil membuat laporan polis mengenai kejadian.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata, bertindak atas laporan polis yang dibuat, sebanyak enam lelaki berusia 18 sehingga 19 tahun ditahan di Ulu Kelang dekat sini semalam.

Ujarnya, kesemua mereka direman selama tiga hari selepas dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini. - Utusan Online