Bayi 4 bulan Maut, Dipercayai Punca Dari Asap Jerebu


ASAP jerebu yang membelenggu seluruh rantau sejak beberapa minggu lepas dipercayai telah meragut nyawa seorang bayi berusia 4 bulan di Palembang, Indonesia.

Menurut laporan portal berita tempatan detikNews, Elsa Fitaloka meninggal dunia akibat jangkitan saluran pernafasan ketika sedang menerima rawatan di hospital Rumah Sakit Ar-Rasyid pada Ahad.

Kematiannya disahkan oleh Agus Darwanto, anggota majlis perbandaran Desa Talang Buluh, Banyuasin ketika dihubungi detikNews.


Menurut Agus, Elsa merupakan anak kepada pasangan Nadirun dan Ita Septiana, warga Desa Talang Buluh yang terletak di daerah Banyuasin, Sumatera Selatan.

“Elsa mula sesak nafas pada malam semalam (Sabtu) dan masih dirawat di rumah. Namun, melihat keadaannya yang semakin parah pada pagi Ahad, dia dirujuk ke rumah sakit Ar-Rasyid di Palembang dan meninggal dunia,” kata Agus.

Elsa dikesan mempunyai jangkitan saluran pernafasan sebelum itu dan sempat dirujuk ke hospital Rumah Sakit Muhamad Hoesin (RSMH) Palembang, namun tiada wad kosong pada ketika itu.

Kata Agus, pihak keluarganya masih belum kenal pasti puncanya.

“Menurut doktor, kematiannya berkemungkinan tinggi berpunca daripada jangkitan saluran pernafasan atau bakteria, namun ia masih belum dimuktamadkan kerana belum ada pemeriksaan lanjut,” kata Agus.

“Namun, ketika Elsa mengalami sesak nafas, ia berlaku pada waktu sama asap tebal memenuhi kampung tersebut iaitu pada 11 malam.”

Menurut Agus, sekitar 800 keluarga tinggal di kampung Desa Talang Buluh yang kini dipenuhi asap tebal berpunca daripada ‘karhutla’, atau kebakaran hutan dan lahan.


“Memang terasa asapnya. Musim kemarau memang selalu seperti ini, sekarang juga masih terasa. Sama juga di desa lain. Warga lain di sini kita belum tahu ada yang sakit pernafasan juga atau tidak,” ujarnya.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin pada Ahad menegaskan Akta Jerebu Rentas Sempadan perlu segera diwujudkan oleh Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain, khususnya yang sering dilanda masalah jerebu.

Kata Yeo, akta berkenaan akan menjamin penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan lebih efisyen antara negara serantau. - Astro AWANI