COLUMBUS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang pegawai polis di Ohio didakwa awal minggu ini atas pertuduhan memperdaya wanita dengan cara meminta habuan seks sebagai balasan untuk dilepaskan, kata pendakwa raya persekutuan.
Andrew Mitchell didakwa melakukan perbuatan keji itu dalam tiga insiden berasingan antara Julai 2017 dan penghujung musim bunga 2018.
"Mitchell didakwa memperdaya dua wanita di Columbus, kononnya dia mempunyai waran tangkap ke atas mereka.
"Dia kemudian memujuk mangsa mengadakan hubungan seks sebagai balasan dilepaskan tanpa pendakwaan," kata pendakwa raya AS, Benjamin Glassman.
Tambah Glassman, salah seorang daripada wanita terbabit dirogol dua kali dalam insiden berasingan.
Katanya lagi, Mitchell, 55, berdepan tujuh pertuduhan - tiga tuduhan menghalang hak sivil individu, mengganggu saksi (dua tuduhan), menghalang keadilan dan membuat kenyataan palsu kepada ejen persekutuan.
Mitchell berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabit bersalah.
Berkhidmat selama 30 tahun dalam pasukan polis, Mitchell dihantar ke jabatan siasatan jenayah (unit Vice) sejak Mac 2017.
Difahamkan, Mitchell telah digantung tugas sejak musim luruh lalu. - Sinar Harian