Skip to main content

Lelaki Ini Dihukum Penjara 7 Bulan


Seorang penganggur dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW dengan memuat naik kenyataan hinaan itu di laman Facebooknya, Februari lalu.

Hakim Hasbullah Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52, seorang mualaf, setelah tertuduh mengekalkan pengakuan bersalahnya hari ini yang ditetapkan untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Dalam penghakimannya, Hasbullah berkata perbuatan tertuduh yang membuat penghinaan menyentuh agama khususnya agama Islam adalah serius dan mencabar Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan Persekutuan mengatakan agama Islam adalah agama persekutuan, perbuatan kamu benar-benar mencabar Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di negara kita.

“Kamu bertuah kerana dituduh di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang hanya memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun,” kata hakim itu.

Mohamad Yazid Kong yang memakai baju-T kelabu dan seluar jeans kelihatan tenang dan mengangguk perlahan.

Terdahulu sebelum prosiding bermula, isteri Mohamad Yazid Kong serta anak lelakinya berusia dua tahun hadir ke mahkamah dan wanita itu menangis dengan kuat sambil berkata, “Kau fikirlah anak kau, macam mana mahu makan sehari-hari,” katanya kepada tertuduh sebelum ditenangkan peguam.

Mahkamah turut memerintahkan Mohamad Yazid Kong dipenjara dua bulan lagi jika gagal membayar denda.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Muhamad Asyraf Md Kamal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan denda yang berat ke atas tertuduh yang telah memuat naik kenyataan yang mengundang kemarahan umat Islam seluruh negara.\
“Tidak akan ada seorang pun daripada kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara kita yang boleh terima sebarang perbuatan penghinaan ke atas agama.

“Sekiranya dibiarkan berterusan ia boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini seterusnya mengancam keselamatan negara,” katanya.

Ketika rayuan, peguam Muhammad Syafiq Salleh yang mewakili Mohamad Yazid Kong memberitahu anak guamnya memohon maaf kepada mahkamah dan seluruh umat Islam di negara ini atas perbuatannya dan merayu hanya dikenakan hukuman penjara paling minimum mengambil kira tertuduh adalah pesalah kali pertama dan telah mengaku bersalah ketika kali pertama dituduh.

“Anak guam saya memeluk Islam semasa ingin berkahwin dengan isteri pertama sebelum ini dan mereka telah bercerai. Setelah memeluk Islam, dia tidak mempunyai apa-apa panduan atau sokongan berkenaan ajaran Islam.

“Dia mempunyai lima anak, empat dengan isteri pertama seorang wanita Melayu dan seorang dengan isteri baharu iaitu wanita warga Indonesia,” katanya.

Jumaat lepas, Mohamad Yazid Kong mengaku bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan menghantar komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati melalui aplikasi Facebook dengan profil nama 'Yazid Kong', pada 8.21 malam, 24 Feb 2019.

Hantaran itu kemudian dibaca oleh seorang pengguna Facebook lain, laman profil 'Mohamad Syafiq' di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Jalan Taman Melati, Wangsa Maju, di sini, pada 12 tengah hari, 1 Mac lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mengikut fakta kes tertuduh telah memuat naik kenyataan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW di laman Facebooknya yang diakses melalui telefon bimbit.

Keterangan menunjukkan bahawa tertuduh sememangnya sedar dan tahu bahawa hantaran (kenyataan hinaan) yang dibuat tersebut adalah jelik dan menghina agama Islam serta Nabi Muhammad SAW. - Bernama
 

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...