Lelaki Culik Bekas Kekasih Untuk Tinggal Bersama



KAJANG - Hanya kerana enggan memenuhi permintaan untuk tinggal bersama teman lelakinya di Johor, seorang wanita berdepan detik menakutkan selepas dia diculik lelaki terbabit.

Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa berusia 31 tahun itu telah dilarikan teman lelakinya di Sungai Chua, di sini, menaiki kereta jenis Proton Iswara.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu telah dilihat oleh bapa mangsa.

Menurutnya, bapa mangsa mula panik apabila panggilan telefon daripada anaknya itu dipercayai telah dimatikan suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek yang disyaki adalah majikan kepada mangsa dikatakan mahu mangsa pulang bekerja di Muar, Johor. Namun mangsa telah menolak pelawaan itu kerana mendakwa tidak dibayar gaji.

"Bapa mangsa juga memberitahu bahawa mangsa telah bekerja dengan suspek hampir setahun yang lepas dengan mengusahakan kebun sayur," katanya kepada Sinar Harian.

Susulan itu, bertindak atas maklumat dan risikan, polis telah membuat serbuan ke atas rumah suspek di Taman Serom 6 Tangkak Johor, semalam, dan berjaya menyelamatkan mangsa yang berada di dalam rumah berkenaan.

Ahmad Dzaffir berkata, mangsa mendakwa dirinya dipukul suspek beberapa kali semasa dalam perjalanan ke Johor.

Katanya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai kerana suspek berusia 43 tahun itu mahu mangsa yang juga teman wanitanya kembali tinggal bersama di Johor.

"Suspek kini direman sehingga Rabu ini dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian