Cucu Jiran Jadi Mangsa.


KANGAR: Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar pada Khamis atas tuduhan melakukan seksual fizikal terhadap cucu jirannya berusia lima tahun.

Tertuduh yang berasal dari Mata Ayer, Arau Perlis membuat pengakuan itu selepas pendakwaan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Warga emas itu yang bekerja sebagai penoreh getah dituduh melakukan seksual fizikal dengan menyentuh kemaluan kanak-kanak itu di sebuah rumah di Felda Chuping, Mata Ayer Arau Perlis pada 16 Februari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh ditahan selepas keluarga mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Arau pada 16 Februari lalu.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa raya Mohd Fuad Abdul Aziz menawarkan jaminan RM3,000 selepas tertuduh mengemukakan rayuan mempunyai tiga anak.

Hakim Ainul Shahrin membenarkan permohonan pihak pendakwaan dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tidak mengganggu mangsa dan keluarganya.

Kes akan disebut semula pada 20 Mac depan. - Astro AWANI