Video: Polis Siasat Anggota Ugut Bunuh Lelaki Dan Tunjuk Pistol


Polis Johor sedang menyiasat klip video yang tular di media sosial menunjukkan salah seorang anggotanya melakukan ugutan jenayah terhadap seorang individu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din, dalam video berkenaan, suspek menunjukkan sepucuk pistol di pinggang kepada seorang lelaki dan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dengan mengaitkan dirinya dengan pegawai kanan polis yang bertugas di IPD JOhor.

"PDRM Johor mengambil maklum dan akan menyiasat perkara ini yang mencemarkan nama baik dan imej pasukan Polis Diraja Malaysia khususnya PDRM Johor.

"Suatu penyiasatan menyeluruh akan dijalankan oleh PDRM Johor dan tindakan undang-undang akan diambil jika terdapat sebarang salah guna kuasa melibatkan pegawai kanan dan pegawai polis di kontinjen Johor," ujarnya dalam satu kenyataan.

Mohd Kamarudin juga menyeru saksi dalam kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan polis.

Klip video selama 2.32 minit itu menunjukkan seorang lelaki diugut oleh seorang anggota polis, yang mengeluarkan perkataan berbaur perkauman.

Berdasarkan perbualan antara kedua-dua individu tersebut, mangsa dikatakan berhutang kepada anggota polis tersebut sebanyak RM50,000 dan hanya membayar RM20,000.

Anggota polis berkenaan memberi amaran kepada mangsa sebanyak dua kali bahawa anggota keluarganya yang dipenjarakan akan mati jika jumlah tersebut tidak dibayar. - Malaysiakini