Gagal Bayar Duit Hantaran Punca Suami Bunuh Isteri


Gara-gara gagal membayar dowri (hantaran perkahwinan), seorang peniaga kain sanggup membunuh isteri sebelum menyembunyikan mayat wanita itu di dalam takungan air pembuangan sisa di belakang rumahnya di Sai Nagar, New Hafeezpet, India di sini semalam.

The Times of India melaporkan, mangsa, Shazia Begum, 26, yang mempunyai tiga anak lelaki hasil perkahwinan dengan suspek, tujuh tahun lalu, dilaporkan hilang oleh abang wanita itu sejak Isnin lalu.

Jurucakap polis daerah Miyapur memberitahu, polis memeriksa loji takungan air pembuangan sisa selepas rakaman litar kamera tertutup (CCTV) apartment yang dihuni mereka tidak menunjukkan sebarang kelibat mangsa keluar dari rumahnya.

“Keluarga Shazia sebelum ini pernah membuat laporan polis terhadap suami mangsa, Tajuddin kerana seringkali mengugutnya untuk menuntut dowri,” katanya. - Utusan Online