Kenapa Lantik Individu Yang Pecahkan Parti? - Azmin


Pelantikan beberapa individu tertentu dalam kepimpinan tertinggi parti, seperti yang diumumkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’, tegas Datuk Seri Azmin Ali.

Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, pelantikan itu juga tidak akan membantu parti untuk maju.

“Beberapa individu yang dinamakan juga terlibat secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Azmin dipercayai merujuk kepada pelantikan calon Timbalan Presiden yang kalah iaitu Mohd Rafizi Ramli sebagai Naib Presiden PKR yang baharu, bersekali dengan Chang Lih Kang dan Ali Biju, pada Jumaat.

Selain itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution turut dikekalkan jawatannya sebagai Setiausaha Agung Parti, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dilantik menjadi Ketua Penerangan, manakala Nik Nazmi Nik Ahmad diangkat menjadi Setiausaha Pengelola Parti.

Anwar pada Jumaat dilaporkan berkata, pelantikan ini melambangkan gandingan pimpinan dari seluruh pelusuk negara yang berbilang kaum, merangkumi tua dan muda, lelaki dan perempuan yang merupakan kekuatan PKR.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, Setiausaha Agung adalah jawatan penting yang harus dipikul oleh seseorang yang profesional dan wibawa dalam memahami tugas pengurusan dan pentadbiran. Beliau perlu melaksanakan tugas selaras dengan keputusan parti yang dibuat secara konsensus dan bukan mengambil pendirian secara berasingan.

Katanya lagi, begitu juga pelantikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang seharusnya dibuat berdasarkan merit dan bukan sebagai imbuhan atau sogokan politik untuk meraih sokongan undi dalam MPP.

“Justeru, saya akan sekali lagi merujuk perkara ini kepada YB Presiden yang telah sedia maklum dengan pendirian saya dan majoriti MPP yang dipilih.

“Pendirian ini telah dimaklumkan kepada YB Presiden beberapa minggu lalu dan saya menggesa YB Presiden memberi perhatian serius demi menjamin masa depan parti yang kukuh dan inklusif,” katanya.

Tambah Azmin lagi, idealisme reformasi dalam Keadilan menuntut mereka untuk bergerak dengan kekuatan organisasi yang mantap dan meraikan kerencaman pandangan serta inklusif dalam menggarap seluruh kekuatan sumbangan anggota Keadilan. - Astro AWANI