TEL AVIV - ISRAEL. Seorang model terkenal di Israel, Bar Refaeli mencetuskan kemarahan banyak pihak selepas dia membuka niqab yang dipakainya dengan kapsyen 'Adakah Iran di sini?' dan turut berkata 'kebebasan adalah asas' ketika beraksi dalam iklan untuk jenama pakaian di Tel Aviv.
Iklan komersial untuk koleksi Hoodies sempena musim sejuk itu dilancarkan di Youtube pada Isnin lalu dan turut dikongsi menerusi akaun Instagram miliknya yang mempunyai 2.7 juta pengikut.
Selepas menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial, model tersebut bertindak memadamkan klip tersebut, namun ia masih dapat disaksikan menerusi akaun jenama pakaian itu di Youtube.
Di Twitter, beberapa pengguna menyifatkan ia sebagai berbaur perkauman.
Sementara itu, The Jerusalem Post melaporkan iklan memaparkan Refaeli memakai niqab telah dipaparkan di billboard di seluruh bandar selain akhbar sebelum disiarkan di TV.
Menurut laporan akhbar itu, wanita tersebut adalah pemilik bahagian Hoodies syarikat terbabit dan kempen mereka dijangka akan menjalinkan kerjasama dengan selebriti Israel.
Jelasnya, komersial itu kononnya untuk mengecam perkauman dan ketaksuban serta menyokong kebebasan. - Sinar Harian