Isteri Upah RM12.4 Juta Untuk Bunuh Suami


MIAMI: Bekas ratu cantik Puerto Rico, Aurea Vazquez Rijos membayar AS$3 juta (RM12.4 juta) kepada seorang lelaki untuk membunuh suaminya seorang hartawan Kanada.

Aurea yang menghabiskan beberapa tahun di Eropah ketika diburu pihak berkuasa, didapati bersalah kelmarin mengupah Alex Pabon Colon untuk membunuh Adam Anhang pada September 2005.

Mangsa ditikam beberapa kali dan dipukul di kepala oleh Colon ketika berjalan bersama Aurea, kira-kira 12 jam selepas lelaki itu menyatakan hasratnya untuk bercerai.

Mahkamah menetapkan 31 Januari depan sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman terhadap wanita itu.

Pendakwa raya berkata, Aurea mengupah Colon sebanyak AS$3 juta untuk melakukan pembunuhan itu.

Bapa mangsa, Abraham Anhang agak beremosi selepas keputusan diumumkan dan memberitahu wartawan keadilan untuk anaknya sudah ditegakkan.

“Saya berasa sangat gembira kerana hampir 14 tahun menderita dengan kehilangan anak saya. Saya telah mendapat keadilan dengan keputusan ini,” katanya.

Aurea didakwa menandatangani perjanjian pra-perkahwinan enam bulan sebelum mengupah Colon membunuh Anhang, seorang pengusaha hartanah Kanada yang mempunyai kediaman di Puerto Rico.

Dokumen mahkamah menyatakan, ketika kematiannya Anhang memiliki harta bernilai AS$24 juta (RM99.54 juta).

Sejurus selepas berkahwin, Anhang mula menyebut kemungkinan mereka bercerai tetapi Aurea akan menerima lebih banyak wang jika statusnya sebagai balu, kata dokumen mahkamah.

Aurea didakwa menghubungi suaminya untuk menghadiri makan malam di kota Old San Juan bagi memudahkan Colon membunuh Anhang.

Dia kemudian lari ke Itali sebelum pendakwaan mengemukakan tuduhan pada 2008.

Wanita itu akhirnya ditahan di Sepanyol pada 2013 sebelum diekstradisi. - Harian Metro