Seorang wanita Jepun menarik perhatian jutaan peminat cerita fantasi dan kartun anime dengan mencipta sebuah buku yang mengeluarkan cahaya pada setiap huruf.
Lapor Oddity Central, wanita tersebut, Uka Ohashi ketika ini merupakan penuntut dalam jurusan rekaan di sebuah universiti seni tempatan.
Dia dilaporkan mencipta buku itu bagi tugasan kelasnya, berdasarkan novel sebenar yang ditulisnya.
Pada mulanya, Ohashi mahu keseluruhan buku itu ‘dipenuhi’ dengan cahaya yang semakin terang apabila pembaca membukanya sehingga ke akhir.
Namun, akibat kesuntukan masa, Ohashi hanya memasang lampu pada bahagian terakhir buku berkenaan sebagai bukti konsep yang cuba diketengahkan olehnya.
Menariknya, buku itu tetap menjadi perhatian ramai.
Ohashi dikatakan menggunting abjad Jepun ke dalam muka surat bukunya menggunakan pemotong laser dan kemudian melekatkan kesemua abjad terbabit dalam buku berkenaan bersama-sama wayar lampu diod pemancar cahaya (LED) yang digamkan di tengah-tengah buku.
Apabila dipasang, lampu LED itu mengeluarkan cahaya pada abjad terbabit.
“Saya mahu mencipta sebuah buku di mana hurufnya menjadi semakin bercahaya ketika cerita novel tersebut menghampiri penghujung,” katanya. - Utusan Online