Bangkai Pesawat JT610 Berjaya Dikesan


KETUA angkatan tentera Indonesia yakin pasukan mencari dan menyelamat sudah menjumpai bangkai pesawat Lion Air yang terhempas ke dalam laut bersama 189 penumpang dan anak kapal, katanya kepada televisyen tempatan, hari ini.

“Kami yakin sudah menjumpai bangkai pesawat JT610,” kata Hadi Tjahjanto kepada TV One, merujuk kepada pesawat milik syarikat tambang murah negara itu.

Pasukan mencari dan menyelamat sudah mempunyai koordinat lokasi tetapi perlu mengesahkan sama ada ia adalah fiuslaj (bangkai pesawat),” katanya.

Indonesia sudah mengerah pasukan mencari menggunakan alat ‘pengesan ping’ untuk mencari kotak hitam pesawat yang menyimpan perakam suara dan data penerbangan di lokasi pesawat itu terhempas.

“Petang semalam, pasukan penyelamat mendengar isyarat ‘ping’ pada jarak kedalaman 35 meter. Pagi ini pasukan penyelam memulakan semula menyelam seawal 5 pagi di lokasi terbabit” kata timbalan ketua panel keselamatan pengangkutan kebangsaan, Haryo Satmiko, kepada Reuters. - Harian Metro