Powered by Blogger.

Sunday, September 2, 2018

Pasangan Kekasih Songsang Dihukum Sebat Hari Ini.


HUKUMAN sebatan di khalayak umum yang dikenakan terhadap pasangan kekasih songsang berusia 22 dan 32 tahun di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu berjalan dengan lancar dengan disaksikan kira-kira 100 orang.

Kedua-dua pesalah menjalani hukuman sebatan enam kali seorang di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syarie Terengganu, Rosdi Harun; dan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail pada 10.10 pagi.

Hukuman sebatan di khalayak umum yang dilaksanakan hari ini adalah yang pertama kali dilakukan di negeri ini.

Bagaimanapun, hukuman dilaksanakan di dalam Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.

Turut hadir bagi menyaksikan hukuman adalah ahli keluarga pesalah, wakil badan peguam, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil media.

Turut menyaksikan hukuman adalah Yang Dipertuan Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali; Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat; dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim.

Terdahulu, kedua-dua pesalah hadir ke mahkamah secara berasingan pada 8.30 pagi sebelum diarah menukar pakaian untuk menjalani hukuman yang dikendalikan pihak Jabatan Penjara Malaysia. - Harian Metro