Lavida Coin Bukan Skim Cepat Kaya - Vida


Jutawan kosmetik Datuk Seri Vida menafikan tuduhan orang ramai bahawa Lavida Coin (LVC) merupakan skim cepat kaya.

Beliau berkata mata wang kriptonya itu diwujudkan kerana pernah “mendapat pulangan yang baik” melalui urusniaga tersebut, lapor Utusan Online.

“Saya komited memastikan LVC ini mematuhi segala peruntukan yang digariskan oleh pihak berkuasa dan diurus berdasarkan tadbir urus yang baik bagi memastikan ketelusannya,” kata pemilik nama asal Datuk Seri Hasmiza Othman.

Malah tegas pengasas Vida Beauty, beliau sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa supaya segala peraturan dipatuhi.

Sehubungan itu ujarnya, perbincangan akan diadakan secepat mungkin dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM pada Rabu menyenaraikan VI Profit Galaxy (DSV Cryptoclub & LUX Galaxies), pengendali LVC dalam Senarai Peringatan Kepada Pengguna Kewangan.

Senarai itu mengandungi maklumat syarikat dan laman web yang tidak mendapat lesen atau kelulusan bawah undang-undang berkaitan dan pengawalseliaan yang ditadbir BNM. – MalayMail