Anwar Akan Bertanding Di kerusi Parlimen Port Dickson


Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson, selepas wakil rakyatnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah bersetuju meletak jawatan.

Danyal berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

“Semalam, saya dimaklumkan pemimpin parti bersetuju dengan tawaran saya untuk Anwar bertanding di Port Dickson.

“Saya akan meletak jawatan sebagai ahli Parlimen. Saya berterima kasih kepada mereka yang telah mengundi saya sebagai ahli Parlimen mereka.

“Saya berharap pengundi akan memberi sokongan mereka kepada bakal perdana menteri itu,” katanya sambil menambah beliau menyokong peralihan kuasa secara damai.

Danyal yang merupakan bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dengan 36,225 undi pada 9 Mei lalu, menewaskan VS Mogan daripada Barisan Nasional (18,515 undi) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594 undi). - Free Malaysia Today