Powered by Blogger.

Friday, August 24, 2018

Impian Malaysia Ke Suku Akhir Musnah


Perjuangan skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara dalam kempen Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang berakhir selepas tewas tipis 0-1 kepada Jepun yang mendapat sepakan penalti pada minit ke-88 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Patriot Chandra di Palembang, malam ini.

Ayase Ueda menyempurnakan sepakan penalti itu yang dihadiahkan kepada pasukan Jepun selepas pemain pertahanan negara Dominic Tan menjatuhkannya yang hanya berhadapan dengan penjaga gawang Malaysia, Muhammad Haziq Nadzli sekali gus meranapkan impian Malaysia melakar sejarah mara ke peringkat suku akhir.

Sebagai bukan pasukan pilihan, skuad kendalian Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee itu harus diberikan pujian apabila cemerlang mempertahankan gawang daripada dibolosi selain berjaya mencipta beberapa peluang gol terbaik di tengah-tengah serangan bertali arus yang dilancarkan skuad “Samurai Biru’ dalam aksi kalah mati 16 pasukan terbaik pada malam ini.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pasukan negara apabila dua percubaan penyerang, Muhammad Safawi Rasid menerusi sepakan percumanya pada minit ke-81 dan rembatan kaki kanannya pada minit ke-83 hanya menggegarkan palang dan tiang gol lawan.

Terdahulu, Malaysia berpeluang mendahului seawal minit ke-14 selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid gagal menyambar bola yang gagal ditampan kemas penjaga gol, Ryosuke Kojima selepas kapten, Baddrol Bakhtiar melakukan percubaan pertama Malaysia ke arah pintu gol Jepun. - Bernama