Skip to main content

Dipaksa Jual Diri Selepas Gagal Melunaskan Hutang Along


Kuala Lumpur: Seorang wanita melalui detik perit dalam hidup apabila dipaksa menjual diri oleh along selepas gagal melunaskan bayaran diminta.

Dia adalah satu-satunya wanita tempatan bekerja di premis di Kuchai Lama selain warga Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Mangsa berusia 29 tahun itu berkata, ia bermula selepas dia meminjam RM40,000 daripada lima along kerana masalah kewangan.

Katanya, dia membuat bayaran ansuran mengikut jadual dibantu ibu yang tidak mahu melihat dia diganggu.

“Selepas pinjaman berbaki RM18,000, saya beritahu ibu ia sudah selesai kerana tidak mahu membebankannya.

“Namun saya tidak mampu menjelaskan bayaran dan ditawarkan pinjaman baru RM22,000.

“Dia menawarkan berbincang dengan tiga along lain menyebabkan saya rasa selamat, tetapi rupa-rupanya ada bala lain,” katanya selepas membuat aduan kepada Unit Banteras Ceti Haram Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), kelmarin.

Wanita itu berkata, minggu lalu dia didesak membayar semua tunggakan atau bekerja sebagai pekerja sosial di premis dan hutangnya dipotong daripada upah diterima.

Katanya, bagi setiap pelanggan pertama, dia menerima RM43 manakala pelanggan berikutnya hanya RM3 atas alasan perlu membiayai kos tempat tinggal.

“Sepanjang dua minggu, saya terseksa kerana tidak rela bekerja di situ. Saya ponteng kerja dan along menawarkan tempat baru di Wangsa Maju. Kali ini saya akan dibayar lebih kerana perlu tidur bersama pelanggan,” katanya.

Menurutnya, selain mengugut menerusi telefon, along memuat naik gambar dan kad pengenalannya di Facebook bagi memalukannya. Dia bimbang keselamatan dua anak kerana along tahu tempat tinggalnya.

“Memang ini pengajaran hidup saya. Tak sangka pinjaman ini bakal menjadikan saya pelacur,” katanya.

Pengarah Unit Banteras Ceti Haram PPIM Azman Kang berkata, pihaknya akan berhubung dengan along untuk menjadualkan semula pinjaman mangsa bagi mengelakkan dikenakan faedah lebih tinggi setiap hari kerana gagal membayar seperti dalam perjanjian. - Harian Metro

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...