Baru-baru ini tular di media sosial mengenai satu status tentang anak luar nikah yang tidak boleh dinikahi oleh mana-mana lelaki dan perempuan berpegang kuat pada agama.
Menerusi entri di Instagram (IG), Pencetus Ummah (PU) Azman, tampil membidas kenyataan yang menjadi tular di media sosial sehingga menyebabkan perbalahan diantara netizen.
"Baru-baru ini viral satu kenyataan sangat karut tentang anak zina.
"Kenyataan yang sangat jauh dari rahmat Islam. Memberi gambaran buruk kepada nilai kemanusiaan. Tidak berdosa seseorang anak yang lahir daripada hasil zina.
"Anak zina jika dididik dengan baik, maka dia juga adalah insan yang sama dengan insan lain. Yang berdosa hanyalah kedua-dua orang tuanya yang berzina.
"Bahkan kedua-dua orang tuanya kalau sungguh bertaubat, maka Allah mengampuni dosa mereka. Rahmat Allah sangat luas," tulisnya.
Rata-rata bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh PU Azman dan berharap orang ramai tidak mengikut atau percaya dengan kenyataan karut yang tular di media sosial. - Astro Gempak