UMNO Lantik Peguam Tuntut Semula Duit Yang Dirampas Polis.


UMNO melantik firma guaman, Tetuan Scivetti & Associates bagi mewakili parti itu dalam kes tuntutan dana politik milik UMNO berjumlah kira-kira RM116.7 juta yang telah disita oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Unit Undang-Undang UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sepasukan peguam yang dilantik semalam diketuai oleh Datuk Hariharan Tara Singh sebagai peguam utama.

Azalina berkata, buat masa ini, barisan peguam yang mewakili UMNO sedang meneliti segala isu perundangan berkaitan dengan tuntutan dana politik parti tersebut.

“Pasukan peguam kami juga sedang mempertimbangkan antara lainnya, prosedur atau kaedah dan cadangan tindakan undang-undang yang boleh UMNO ambil terhadap pihak yang berkaitan dalam menuntut dana politik parti.

“Barisan peguam juga akan membuat permohonan sewajarnya ke atas agensi penguatkuasaan khususnya PDRM untuk memperoleh maklumat bagi membolehkan tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada 18 Mei lalu, sepasukan polis telah bertindak merampas sejumlah wang yang didakwa sebagai dana politik UMNO bagi tujuan kempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 5 Mei lalu dan pengurusan parti.

Wang tersebut dirampas ketika proses pertukaran kepimpinan baharu dalam UMNO selepas diadakan pemilihan parti pada 30 Jun lalu.

Tambah Azalina lagi, UMNO berharap agar mana-mana pihak berhenti membuat spekulasi berhubung isu penyitaan wang parti.

“Pada masa sama, pasukan peguam UMNO turut berharap supaya tiada mana-mana pihak membuat sebarang telahan yang tidak sewajarnya berhubung isu rampasan dana parti ini,” tegasnya.

Sebelum ini UMNO meminta polis memulangkan baki sumbangan kempen dan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dirampas pihak berkuasa terbabit.

Menurut Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, dana itu amat diperlukan dalam proses UMNO membina semula parti.

"Adalah dukacita dimaklumkan bahawa baki sumbangan kempen dan dana parti dirampas oleh pihak polis semasa dalam proses ia dipindahkan kepada kepemimpinan baru UMNO selepas peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

"Pembiayaan politik dibenarkan di bawah undang-undang kita. Oleh itu, UMNO berusaha untuk memulihkan dana ini dan memohon kepada pihak polis untuk melepaskan dana serta mengembalikannya kepada parti selepas selesai proses dan penyelidikan oleh pihak berkuasa yang relevan," menurut kenyataan unit itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, secara umum Presiden UMNO bertanggungjawab mendapatkan sumber dan menguruskan dana untuk parti, termasuk dana bagi pilihan raya umum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

"Hal ini tidak berbeza dengan mantan Presiden kita iaitu Datuk Seri Najib Razak yang mendapatkan sumbangan kempen sebelum PRU-14 dan menguruskan dana parti kita.

"Semasa mantan Presiden Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Presiden, beliau juga menyerahkan RM1.2 billion kepada parti dan tiga juta ahli," menurut kenyataan itu.