Powered by Blogger.

Monday, July 16, 2018

Manifesto Pakatan Harapan Harga Barangan Masih Tidak Turun - Najib


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat kecewa apabila harga barangan masih tidak turun meskipun kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) disifarkan.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, beliau menerima reaksi daripada orang ramai yang berpendapat harga barangan sebenarnya tidak turun selepas kadar sifar itu dilaksanakan.

"Saya dapat lihat orang ramai kecewa, ada juga yang turun macam harga kereta, tetapi umumnya harga barangan keperluan biasa rakyat tidak turun, malah ada yang naik.

"Jadi impak yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Harapan bahawa mereka akan mengurangkan kos sara hidup tidak tercapai.

"Selain itu, rakyat juga bimbang dengan langkah memperkenalkan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST ) kerana dijangka bahawa harga akan naik," katanya ketika ditemui media selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Ke -14 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Parlimen, hari ini.

Najib berkata, beliau akan membawa perkara itu ke sidang Dewan Rakyat dan akan memberi fakta yang diperlukan.

"Pelaksanaan SST akan memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.

"Kadar sifat GST sebelum ini tidak memberi kesan kepada rakyat, ditambah lagi dengan SST beban rakyat akan bertambah.

"Jadi, tidak kesampaian apa yang dinyatakan mereka (kerajaan) bahawa harga akan turun," katanya.

Terdahulu, kerajaan mencadangkan kadar 10 peratus cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan di bawah SSTyang akan diperkenalkan semula pada 1 September depan.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Rang Undang-undang (RUU) SST dijangka dibentangkan di Parlimen pada Ogos ini bagi menggantikan cukai GST, yang mana pengenalan semula SST dijangka menyumbang sebanyak RM4 bilion kepada hasil kerajaan. - Berita Harian Online