Annuar Musa Sindir Khairy Jamaluddin DI Twitter


Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, hari ini memuat naik entri di akaun Twitter miliknya yang menyindir bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Sekalipun tidak menyebut nama sesiapa secara khusus, entri berkenaan jelas mengandungi nada sindiran buat Ahli Parlimen Rembau itu yang dikatakan tidak sepakat dengan Ahli Parlimen UMNO lain meninggalkan sidang Dewan Rakyat, semalam.

Annuar memuat naik status bagaimana untuk menjadi pembangkang yang berwibawa.

"Pembangkang yang berwibawa adalah yang bertindak bertindak sorang-sorang (sendirian)... tidak hadir mesyuarat, bila ada perbincangan sesama MP tak payah join (hadir).

"Bila benda salah kerajaan buat, kita duduk saja. Bila kawan-kawan bangun bercakap kita diam saja.

"Yang credible (berwibawa) ialah ikut Pakatan Harapan (PH)," katanya.
 

Semalam, semua Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat selepas mendakwa pelantikan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, sebagai Speaker tidak mematuhi prosedur.

Selain Khairy, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis) dan Datuk Rozman Isli (Labuan) kekal di kerusi masing-masing.

Khairy semalam menjelaskan tidak bersetuju dengan langkah keluar dewan kerana menganggap lebih baik membawa perkara berkenaan ketika perbahasan.

Beliau berkata, tindakannya itu bagi memastikan pembangkang terus berperanan dengan berwibawa.

Merujuk kepada kenyataan Khairy, Annuar memuat naik status baharu tanpa menyebut namanya.

"Ada orang yang mengatakan kita boleh membantah semasa perdebatan. Baik, tetapi bagaimana jika perdebatan tidak dibenarkan?

"Adakah kita terus duduk dan hanya berkata ya untuk mengekalkan kebencian kita?" katanya. - Berita Harian Online