Suara Golongan Muda UMNO Disekat


Suara ahli UMNO terutama golongan belia di peringkat Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka masih disekat ekoran pemimpin lama dikawasan itu enggan lepas jawatan kepada generasi muda.

Lebih mengecewakan ahli di cawangan itu adalah sikap pemimpinnya yang tidak acuh terhadap perlembagaan parti apabila mengetepikan jawatankuasa dipilih pada 2013 dengan melantik yang baharu tanpa mengadakan mesyuarat.

Menurut Ketua Penerangannya, Syed Rosli Jamalullail Syed Harman, beliau terkejut apabila melihat minit mesyuarat parti yang mengubah hampir keseluruhan jawatankuasa termasuk namanya tanpa persetujuan mereka.

Beliau berkata, namanya juga turut digugurkan daripada jawatan Ketua Penerangan dan digantikan dengan orang lain tanpa pengetahuannya.

“Saya terkejut dengan tindakan pemimpin diperingkat cawangan masih enggan melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada generasi muda dan sanggup mengetepikan jawatankuasa yang dipilih pada 2013.

“Malah saya dan jawatankuasa lain pun tidak tahu bila mesyuarat diadakan untuk melantik jawatankuasa yang baharu sebelum Persidangan Tahunan Cawangan diadakan pada 3 Jun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)

Ekoran perubahan berkenaan, Syed Rosli bersama ahli UMNO lain menghantar surat bantahan kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut beliau, bantahan itu dilakukan untuk memohon pimpinan pusat UMNO membatalkan mesyuarat Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka kerana pelantikan jawatankuasa yang tidak sah.

Tambah Syed Rosli, beliau memohon kepada pimpinan pusat supaya mengarahkan mesyuarat di cawangannya itu diadakan semula dengan menggunakan jawatankuasa yang dipilih dalam persidangan pada tahun 2013.

Selain itu beliau juga mempertikaikan mesyuarat pada 3 Jun itu yang diadakan di dalam rumah calon Ketua Cawangan dan dipercayai melanggar peraturan mesyuarat. - UTUSAN ONLINE