Najib Buka Pejabat Sendiri Untuk Urusan Peribadi


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuka sebuah pejabat untuk urusan peribadi dan kemudahan untuk mereka yang mahu bertemu dengan Ahli Parlimen Pekan itu.

Ketika ini katanya, beliau mahu meluangkan masa beribadat dan mengambil keberkatan bulan Ramadan.

"Saya juga banyak menerima kunjungan pemimpin dan ahli UMNO dari seluruh negara, penyokong dan sahabat, yang menziarahi saya di rumah untuk bertanyakan khabar, memberi sokongan dan minta pandangan tentang kedudukan semasa. Boleh dikatakan tak putus-putus mereka yang datang ke rumah, terima kasih.

"Selain itu, saya juga dalam proses untuk membuka satu pejabat untuk menjalankan urusan peribadi serta memudahkan mereka yang ingin bertemu saya," katanya dalam entri terbaharunya di laman sosial Facebooknya hari ini.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional itu juga mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

"Waktu sekarang ini adalah masa yang cukup bernilai untuk saya bersama keluarga, terutamanya anak-anak dan cucu saya kerana saya terlalu sibuk dengan urusan negara selama ini.

"Dari segi kebajikan, saya akan terus menyampaikan bantuan zakat kepada kumpulan asnaf, walaupun lebih bersederhana berbanding dahulu apabila ada banyak sumbangan daripada agensi-agensi Kerajaan. Saya dan keluarga akan menyambut Hari Raya di Pekan,' ujarnya lagi.

Beliau dalam pada itu menyeru ahli UMNO meneruskan perjuangan parti.

"Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN saya bertanggungjawab atas kekalahan kita dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Oleh itu, ahli UMNO hendaklah kuatkan semangat, perkukuhkan ketahanan diri untuk terus menyuburkan dan memulihkan UMNO. Ini kerana UMNO telah banyak berjasa dan sinonim dengan pelbagai kejayaan negara kita," tambahnya.

Najib berkata, beliau akan terus memimpin UMNO Pekan dan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Pekan. - Astro AWANI