Powered by Blogger.

Wednesday, June 13, 2018

Ku Li Jadi Ketua Pembangkang?


Meskipun pilihan raya umum (PRU) ke-14 sudah berakhir lebih sebulan, kerusi ketua pembangkang di Dewan Rakyat bagi penggal baru Julai depan masih lagi menjadi teka-teki.

Ramai pemerhati politik mula bertumpu pada jawatan itu selepas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN.

Bagaimanapun, Umno dilihat masih tercari-cari formula yang sesuai dalam misi memulihkan parti itu selepas ramai pemimpin utamanya tewas dalam PRU ke-14 pada 9 Mei lalu.

Menghampiri pemilihan Umno 30 Jun, setakat ini hanya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sah bertanding jawatan presiden parti itu.

Masih tidak dapat dipastikan sama ada pemimpin yang mengetuai Umno akan turut dilantik menjadi ketua pembangkang atau tidak.

Namun, nama Tengku Razaleigh Hamzah meniti di bibir beberapa ketua bahagian yang mahu melihat ahli politik veteran itu menerajui Umno.

Cakap-cakap dalaman parti mencadangkan agar Ahmad Zahid hanya fokus membaiki struktur dan memantapkan Umno, sementara Tengku Razaleigh pula dilantik sebagai ketua pembangkang.

Pada masa yang sama, menurut sumber yang mendakwa rapat Tengku Razaleigh atau sebagai Ku Li difahamkan keberatan bertanding jawatan presiden.

Ini kerana, menurut sumber berkenaan, Tengku Razaleigh tidak mahu berlaku perpecahan yang lebih serius di dalam Umno sekiranya beliau mencabar Ahmad Zahid bagi jawatan presiden.

"Benda ini cakap-cakap dalaman. Ada yang mencadangkan agar Ku Li menjadi ketua pembangkang kerana dia orang yang sesuai untuk berdepan dengan (perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) dalam Dewan Rakyat.

"Selain itu juga faktor integriti. Ku Li bersih daripada segala skandal dan kali terakhir dia dalam kabinet ialah pada 1980-an. Jadi Ku Li memang layak jadi ketua pembangkang.

"Faktor lain pula, biarlah ada pengasingan maknanya Ahmad Zahid uruskan Umno dan Ku Li jadi ketua pembangkang. Biar Zahid urus hal-hal penstrukturan parti.

"Ku Li pun difahamkan tidak mahu bertanding dan mahu Ahmad Zahid terus menjadi presiden sebab tak nak Umno berpecah-pecah lagi bila wujud pertandingan untuk jawatan presiden," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Sidang pertama bagi penggal pertama Dewan Rakyat dijangka akan diadakan pada 16 Julai depan.

Antara individu yang pernah menjadi ketua pembangkang ialah mendiang Tan Sri Dr David Tan Chee Khoon, Lim Kit Siang, allahyarham Datuk Fadzil Noor, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Tengku Razaleigh yang kini mencecah umur 81 pernah menjadi menteri kewangan (1976-1984), selain menjadi menteri perdagangan dan industri (1984-1987).

Pengalaman Ku Li tidak terhad dalam peringkat kebangsaan, tapi juga pernah menjadi mempengerusikan beberapa organisasi kewangan antarabangsa termasuklah Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Islam.

Beliau juga merupakan pengasas Petronas dan pernah dilantik sebagai pengerusi serta ketua pegawai eksekutif Petronas semasa pentadbiran Tun Abdul Razak.

Berdasarkan latar belakang anggota parlimen Gua Musang itu, sumber tersebut berkata, Tengku Razaleigh merupakan calon yang layak menjadi ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

"Dia dan Tun Mahathir sama level (tahap)," kata sumber yang menyorot Tengku Razaleigh sebagai antara anggota parlimen yang paling lama dan terlibat dalam politik sejak zaman Tunku Abdul Rahman, sama seperti Mahathir.

Pada sidang Dewan Rakyat Julai ini juga menyaksikan buat pertama kali BN hanya mempunyai 54 kerusi Parlimen- dua daripadanya MCA dan satu MIC.

Situasi BN menjadi makin tenat selepas gabungan 13 parti komponen itukini hanya tinggal empat parti iaitu Umno, MCA, MIC dan GERAKAN.

Ia susulan sembilan parti komponen BN Sabah dan Sarawak serta MyPPP mengambil keputusan meninggalkan BN dalam tempoh sebulan sejak kekalahan pada pilihan raya umum ke-14.

Kekalahan itu merupakan kali pertama BN kehilangan kuasa dalam tempoh 61 tahun sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Ditubuhkan pada tahun 1973, BN merupakan inisiatif perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein bagi menyatukan parti pemerintah dan pembangkang selepas tragedi hitam rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Ironinya, BN tewas dalam pilihan raya bersejarah ketika di bawah teraju anak lelaki Tun Abdul Razak, Datuk Seri Najib Razak.

Selain jawatan ketua pembangkang, yang menarik untuk diperhatikan ialah pendekatan yang bakal diambil kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memperolehi sokongan dua per tiga majoriti sekiranya ingin menggubal sesuatu Perlembagaan.

Secara rasmi parti komponen HARAPAN dan parti rakan kerjasama pilihan rayanya Parti Warisan Sabah (WARISAN) mempunyai 122 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Gabungan berkenaan kini masih kekurangan 25 kerusi untuk mendapat sekurang-kurangnya 147 kerusi sekali gus menguasai dua per tiga dewan. - Malaysiakini