Enam Perlawanan Kelas ‘A’ Menanti Harimau Malaya


Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya dijadual menghadapi enam perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ sebagai persiapan menghadapi perlawanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan menentang Fiji pada 5 Julai di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras diikuti perlawanan dengan Taiwan pada 7 September di Tawan.

Pasukan negara kemudian akan ke Phnom Penh pada 10 Oktober bagi menentang Kemboja dan Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober sebelum perlawanan dengan Republik Kyrgyz, 16 Oktober di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Hamidin berkata, satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ turut dirancang pada 3 November di Kuala Lumpur tetapi siapa lawan masih belum disahkan iaitu sebagai ujian terakhir sebelum skuad ke Phnom Penh bagi aksi sulung Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 bertemu Kemboja pada 8 November.

“Enam perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ ini bakal menjadi pentas terbaik bagi memperbaiki lagi kedudukan semasa Malaysia di tangga 171 dunia dalam ranking FIFA, selain sebagai medan ujian buat Cheng Hoe mempersiapkan pasukannya menjelang Piala AFF Suzuki 2018 .

“Semoga perancangan teliti yang diatur ini dapat menghasilkan keputusan positif buat skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2018. Sama-sama kita doakan supaya kejayaan cemerlang dapat diraih Malaysia pada edisi kali ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pasukan negara diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan Myanmar, Laos, Kemboja dan juara edisi 2008, Vietnam pada edisi Piala AFF Suzuki kali ini bermula 8 November hingga 15 Disember ini.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala AFF adalah pada 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal selepas menewaskan tuan rumah bersama, Indonesia secara agregat 4-2. - BERNAMA