Beg Dan Barang Kemas Milik Najib Dan Rosmah Masih Belum Selesai


Pengiraan barang kemas dan jam tangan mewah dalam baki 37 bagasi yang dirampas di Pavilion Residences Apartment masih belum selesai dikira sungguh pun hampir memasuki minggu kedua.

Proses penilaian barang rampasan dari tiga unit kondominium mewah di Bukit Bintang itu masih dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Menurut sumber, satu sidang media akan diadakan minggu depan bagi mengumumkan perkara tersebut.

“Buat masa ini nilainya masih belum diperoleh, proses pengiraan masih berlangsung," kata sumber itu ketika dihubungi.

Difahamkan, proses pengiraan itu memakan masa lama kerana ia memerlukan bantuan pakar barang kemas dan jam tangan mewah bagi mengetahui nilai sebenar barang tersebut.

Pada 25 Mei lalu, polis mendedahkan nilai rampasan 35 daripada 72 beg, yang berisi wang tunai termasuk 25 mata wang asing, mencecah RM114 juta.

Polis juga merampas 284 kotak beg berjenama mewah dalam serbuan tersebut.

Rampasan itu, dibuat pada 18 dan 20 Mei, berkaitan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak. 

Sebelum ini lebuh Sebanyak 284 kotak berisi tas tangan berjenama mewah antaranya Hermes Birkin dan Louis Vuitton diambil oleh pihak polis dalam pemeriksaan di kondominium mewah di Pavilion Residence, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, selain tas tangan, turut diambil ialah 72 beg dan bagasi mengandungi barang kemas serta wang tunai dari pelbagai negara.

“Setakat ini, jumlah anggaran wang yang diambil belum boleh diberitahu kerana perlu dikira dengan teliti.

“Rumah tersebut kita dapati didaftarkan atas nama seorang individu bergelar Tan Sri dan tiada orang di dalam rumah sewaktu pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas selesai pemeriksaan polis di sini.

Terdahulu, sebanyak lima buah trak polis hadir kira-kira pukul 11.45 malam ke kondominium mewah tersebut untuk mengambil kesemua barangan siasatan.

Kesemua barangan itu selesai dimasukkan ke dalam lori tersebut kira-kira pukul 2 pagi.

Sebelum itu, kira-kira pukul 4.40 petang semalam, sebuah trak polis dilihat keluar dari kediaman rasmi Najib di Jalan Langgak Duta, di sini.

Menurut Amar Singh, polis juga mengambil beberapa barangan di kediaman rasmi bekas Perdana Menteri dan juga di Pejabat Perdana Menteri.

Jelasnya, kesemua barangan termasuk dokumen yang diambil adalah bertujuan menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas mengenai tempoh pemeriksaan yang lama, jelasnya, kes yang sedang disiasat itu menjadi perhatian umum dan perlu dilakukan dengan teliti.

“Kita melakukan pemeriksaan dengan cukup teliti dan secara profesional sejak dua hari yang lepas.

“Setakat ini, proses pemeriksaan berjalan dengan lancar dan kita telah mendapatkan borang geledah di setiap premis,” jelasnya. - Sinar Harian