Powered by Blogger.

Thursday, May 31, 2018

Jamal Lari Ke Indonesia, Muhyiddin Mahu Jamal Ditangkap.


Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak rayuan "melindungi" Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang hilang selepas berjanji untuk menyerah diri kepada polis semalam.

"Apa nak lindung apa? Dia tahu dia buat salah lepas tu dia lari," Muhyiddin memberitahu pemberita selepas hadir majlis berbuka puasa Jabatan Penjara di masjid Penjara Kajang malam ini.

Muhyiddin berkata beliau juga meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun mengesan Jamal yang dilaporkan disiasat untuk sembilan kes, termasuk tiga daripadanya yang telah dibuat pertuduhan pada Jumaat lalu di Hospital Ampang Puteri.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat mengesahkan polis sedang dalam proses meletakkan Jamal dalam larangan perjalanan imigresen susulan desas-desus dia melarikan diri ke Indonesia.

"Saya sedang minta KPN untuk memburu beliau.

"Dengar kata dia di Indonesia dan kita minta kerjasama polis di sana untuk cari beliau bawa ke sini.

"Apa pun kesalahan saya serah pada pihak berkuasa untuk ambil tindakan sesuai dengan undang-undang yang ada," kata Muhyiddin lagi.

Selepas gagal hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semalam, Jamal mengeluarkan video yang dirakam di ladang kelapa sawit dan menyatakan kebimbangannya akan ditangkap.

Dalam klip video berdurasi 7 minit itu, Jamal yang dilihat berada di kawasan kelapa sawit menjelaskan bahawa dia bimbang akan ditangkap pihak berkuasa sebaik sahaja hadir memberi kenyataan.

Jamal sebelum ini berjanji untuk hadir ke IPD Ampang Jaya bagi memberi keterangan pada kira-kira jam dua petang.

Bagaimanapun, beliau gagal hadir seperti dijanjikan.

Sementara itu, Jamal juga memohon perlindungan daripada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kepada beliau sekiranya mahu dirinya segera tampil memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Terdahulu, ketua Gerakan Baju Merah itu didakwa bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan ekoran mengetuai bantahan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ (BBF17) di hadapan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Selangor pada 5 Oktober lalu.

Jamal juga disiasat mengikut Seksyen 34, Akta Senjata Api 1960 atas dakwaan mempamerkan senjata api di khalayak ramai. - Malaysiakini