Gigi Sahkan Hitler Meninggal Dunia Pada 1945.


Adolf Hitler ialah seorang tokoh politik di Jerman antara akhir 1920-an dan 1940-an. Beliau terlibat dalam Perang Dunia I tetapi memainkan peranan penting dalam Perang Dunia II.

Beliau terkenal sebagai orang yang berjaya menyatukan penduduk berbahasa Jerman walaupun akhirnya negara itu berpecah kepada dua bahagian iaitu Jerman Timur dan Barat.

Kini beliau dilabel oleh kebanyakan orang Barat sebagai orang yang kejam, bengis dan diktator yang gila kuasa.

Dari sekian tentang kematian Hitler, tidak ada satupun yang dapat menyebutkan secara pasti apa penyebab kematian diktator Nazi itu.

Namun Pemimpin Nazi, Adolf Hitler, disahkan meninggal dunia pada 1945 di Berlin kerana mengambil sianida dan ditembak, menurut penyelidik Perancis yang diberikan sebahagian gigi diktator itu yang disimpan di Moscow.

"Gigi itu asli, tiada keraguan lagi. Kajian kami menunjukkan Hitler meninggal dunia pada 1945.

"Kita boleh menghentikan semua teori konspirasi mengenai Hitler. Dia tidak melarikan diri ke Argentina dengan kapal selam, dia tidak berlindung dalam kubu di Antartika atau berada di bulan," kata Profesor Philippe Charlier.

Kajian, yang dilakukan Charlier bersama-sama empat lagi penyelidik, disiarkan semalam dalam majalah saintifik European Journal of Internal Medicine.

Analisis ke atas gigi Hitler yang buruk dan beberapa gigi palsu menunjukkan kandungan tartar putih dan tiada kesan serat daging kerana diktator itu cuma makan sayur-sayuran.

Pada Mac dan Julai 2017, perkhidmatan rahsia Russia, FSB dan arkib Russia membenarkan sepasukan penyelidik memeriksa tulang diktator itu, buat kali pertama sejak 1946.

Penyelidik Perancis memeriksa serpihan tengkorak yang menunjukkan lubang di sebelah kiri yang kemungkinan disebabkan peluru.

Saintis tidak dibenarkan mengambil contoh serpihan itu.

Jika kajian mengesahkan pandangan yang diterima secara umum bahawa Hitler meninggal dunia pada 30 April 1945, dalam kubunya di Berlin dengan sahabatnya, Eva Braun, ia juga menunjukkan punca sebenar kematian, kata Charlier.

"Kami tidak tahu sama ada ia menggunakan sianida untuk membunuh diri atau disebabkan peluru dalam kepala. Kemungkinan kedua-duanya," katanya. - Berita Harian Online