Penganjur Perlumbaan Lepas Tuduhan Cuai Berhubung Kes Kematian Dua Beranak


Kematian dua beranak ketika menonton Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 telah diputuskan oleh mahkamah sebagai kejadian yang tidak dapat dielakkan (kemalangan).

Walaupun terdapat perubahan lokasi dan arah laluan di litar baharu di Jalan Sukpa, Koroner Dazuki Ali berkata, penganjur perlumbaan iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah merancang perlumbaan dengan baik.

“Pihak yang terlibat telah mematuhi standard dan piawaian yang ditetapkan dalam penganjuran perlumbaan serta mengambil langkah sewajarnya dalam aspek keselamatan termasuk keselamatan pelumba.

“Ini boleh dilihat daripada pemeriksaan yang diadakan dari semasa ke semasa dan apabila berlaku kekurangan, langkah untuk meningkatkan keselamatan diambil,” katanya semasa membaca penghakiman ringkasnya.

Dazuki berkata kematian yang melibatkan Izwan Isa, 39, pada 12.20 pada 25 September 2016 lalu dan anak bongsunya Nur Zulaikha, 5, pada 2.20 petang pada hari yang sama di Hospital Tenku Ampuan Afzan (HTAA) adalah akibat kemalangan jalan raya bukan kecuaian. Sumber:Eberita, Editor:Anna