Gadis 15 Tahun Dicekup Bersama Dua Lelaki Kerana Berkhalwat


Dalam operasi mencegah maksiat yang dijalankan pada rabu lalu telah menahan seorang gadis sedang menginap di sebuah bilik hotel bajet bersama dua orang lelaki.

Gadis berusia 15 tahun itu ditangkap kira-kira jam 2.10 petang dan terpaksa bermalam di lokap Balai Polis Kuala Terengganu sementara menunggu perintah reman untuk sebutan kes di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu pada Khamis.

Salah seorang teman lelakinya berusia 18 tahun menerima nasib yang sama, manakala seorang lagi lelaki berusia 21 tahun dilepaskan dengan bon jaminan.

Kedua-dua remaja yang ditahan akan dihantar ke Pusat Pemulihan Akhlak atas permintaan keluarga masing-masing demi menjamin masa depan mereka berdua.

Sementara itu, dalam operasi yang sama turut ditahan seorang lelaki berusia 25 tahun kerana didapati berdua-duaan bersama seorang wanita yang juga pekerja tukang urut dalam serbuan sempena Ops Rumah Urut di bandaraya ini.

Pasangan itu ditahan kira-kira jam 1.50 petang, bagaimanapun dilepaskan dengan bon jaminan dan diperintahkan hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat. Editor:Anna