Gaji Ghaddar Mahal, Kelantan Tak Mampu


KOTA BAHRU - Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan menafikan khabar angin bahawa bekas penyerang Kelantan, Mohammed Ghaddar akan kembali memperkuat pasukan itu musim depan.

Menurut laporan mStar Online, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, dakwaan itu hanyalah spekulasi semata-mata. ia tak benar.

Kafa tidak mengemukakan sebarang tawaran kepada Ghaddar setakat ini," katanya kepada mStar Online.

Malah, Bibi berkata, gaji Ghaddar adalah diluar kemampuan Kafa. "Gaji mahal... kita tak mampu," katanya.

Ghaddar menyertai kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan perpindahan yang dipercayai membabitkan bayaran paling tinggi dalam sejarah bola sepak tempatan pada Mei lalu.

Terdahulu timbul desas-desus di kalangan penyokong TRW mengenai senarai wajah baharu yang bakal membarisi skuad TRW musim depan.

Selain Ghaddar, beberapa bekas pemain didakwa bakal menyertai TRW semula antaranya pemain sayap Felda United, Wan Zack Haikal Wan Noor; pemain sayap Pahang, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria; penyerang Felda United, Norshahrul Idlan Talaha dan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Shakir Shaari.

Ditanya mengenai spekulasi tersebut, Bibi bagaimanapun meminta semua pihak terutama penyokong TRW agar bersabar dan menunggu sehingga pengumuman rasmi selepas mesyuarat Exco Kafa Sabtu ini.

"Sebenarnya selagi tiada tanda tangan kita tak dapat nak sahkan. Kita tunggu sehingga Sabtu ini. Mungkin bukan semua (pemain) seperti didakwa kerana kebanyakan mereka masih ada kontrak lagi," katanya.

Exco Kafa akan bermesyuarat pada pukul 10 pagi Sabtu kemudian disusuli dengan majlis pengumuman senarai pemain serta jurulatih TRW pada pukul 2 petang hari yang sama. - mStar Online