Pempengaruh mati ditembak ketika ‘live’ TikTok



ZAPOPAN: Seorang pempengaruh media sosial di Mexico mati ditembak ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok miliknya, Selasa lalu.

Menurut pihak berkuasa Jalisco, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang.

Siasatan awal mendapati suspek lelaki menaiki motosikal, tiba di salon milik Valeria Márquez, 23, sebelum melepaskan tembakan terhadap mangsa.

Márquez yang memiliki hampir 200,000 pengikut di TikTok, rebah di hadapan kamera selepas dipercayai ditembak di bahagian dada dan kepala, berdasarkan rakaman video berkenaan.

Beberapa saat kemudian, seorang wanita yang berada di dalam salon dilihat mengambil telefonnya dan menghentikan siaran langsung itu.

Márquez disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut pihak berkuasa, suspek kemudiannya melarikan diri dan masih belum diberkas.

Kes kini disiasat di bawah protokol femisid, yang diaktifkan apabila seorang wanita dipercayai menjadi mangsa pembunuhan berpunca daripada jantina.

Insiden itu mencetuskan kemarahan umum di Mexico, sebuah negara yang sekian lama berdepan kadar pembunuhan dan keganasan terhadap wanita yang membimbangkan.

Beberapa hari sebelum itu, seorang calon datuk bandar wanita di negeri Veracruz turut maut ditembak ketika bersiaran langsung, bersama tiga individu lain.
Artikel : Buletin Tv3