Skip to main content

SPRM Siasat Sumber Kekayaan Tengku Adnan

Ku Nan emosi selepas asetnya didedah kepada umum
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dari mana sumber kekayaan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, beliau sudah mengarahkan pegawainya membuka kertas siasatan terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Menurut Latheefa, SPRM memandang serius kekayaan Tengku Adnan seperti yang didakwa beliau berjumlah hampir RM1 bilion di mahkamah semalam.

“SPRM memandang serius perkara ini dan saya sudah memberikan arahan supaya siasatan dimulakan,” kata Latheefa kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.

Kata Latheefa, apa yang menjadi keutamaan siasatan SPRM ialah bagaimana Tengku Adnan memperoleh aset-aset yang mencecah nilai sedemikian.

“Isu kita bukan pendedahan aset tetapi bagaimana dia dapat aset itu. Saya sudah berikan arahan untuk mulakan siasatan,” kata beliau lagi.

Semalam, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk pengisytiharan asetnya didengar dalam prosiding secara tertutup tanpa kehadiran orang awam atau pihak media, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu gagal mengawal perasaan di bilik bicara.

Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim, dalam prosiding membela diri bagi tuduhan menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong, Ahli Parlimen Putrajaya itu meninggikan suaranya apabila ditanya sama ada ayat dalam pernyataan saksinya adalah pendapat peribadi.

"Apabila saya katakan saya tidak mahu mengisytiharkan diri saya, ia kerana di khalayak ramai, anda tahu mengapa. Sekarang saya menghadapi masalah. Selepas saya mendedahkan hampir satu bilion (aset), mereka akan mensensasikannya," katanya dengan suara yang tegang dan penuh emosi.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili bekas Setiausaha Agung UMNO itu kemudian mencelah dan meminta mahkamah berhenti rehat seketika untuk menenangkan Tengku Adnan.

Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan itu dalam keputusannya terhadap pengisytiharan aset memutuskan bahawa untuk perbicaraan itu dijalankan secara adil, ia mesti dilakukan secara telus dan orang awam mempunyai hak untuk mendengar apa yang didengar di mahkamah dan melihat apa yang dilihat di mahkamah.

"Dengan cara ini orang awam dapat menghargai apa sahaja keputusan yang dibuat oleh mahkamah dan tidak tertanya-tanya dengan apa-apa keterangan yang disimpan rahsia," katanya sambil menambah bahawa Tengku Adnan gagal meyakinkan mahkamah bahawa ia adalah untuk kepentingan keadilan atau menunjukkan sebab yang cukup dalam permohonannya.

"Sebaliknya, tertuduh bimbang asetnya dan keluarganya dimaklumkan secara terbuka. Beliau, antara lain, takut keselamatan keluarganya sekiranya butiran kekayaannya diketahui umum.

"Saya berpendapat bahawa untuk berbuat demikian sebenarnya akan bertentangan dengan kepentingan keadilan. Saya sedar hakikat bahawa tertuduh adalah bekas menteri persekutuan dan kes ini telah mendapat liputan meluas. Perbicaraan ini bukan sahaja perlu dilakukan secara adil tetapi mesti dilihat secara adil," katanya.

Perbicaraan kemudian diteruskan dengan pemeriksaan utama oleh Tan dan Tengku Adnan, 69, berkata beliau telah mengisytiharkan asetnya kepada tiga perdana menteri semasa beliau berkhidmat sejak menyertai Kabinet pada 2001, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

Ditanya lanjut oleh Tan mengenai jumlah asetnya yang telah diisytihar kepada Dr Mahathir pada tahun 2001, Tengku Adnan berkata: "Saya rasa ia melebihi RM900 juta".

Kepada soalan sama ada angka itu ialah RM938,643,566.16, bekas menteri itu menjawab: “Betul”.

Tengku Adnan juga mengesahkan bahawa beliau telah mengisytiharkan asetnya kepada Abdullah berjumlah RM711,325,822.00 pada tahun 2006; RM691,770,649.00 dan RM782,748,061.00 kepada Najib, pada 2013 dan 2016.

Pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas tuduhan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Tengku Adnan, sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Chai, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - Astro AWANI

Popular posts from this blog

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

Konflik dalaman keluarga punca suami kelar isteri, bakar 4 kenderaan di rumah mentua

TANGKAK – Polis mengesahkan bahawa punca seorang suami mengelar isterinya sehingga maut berpunca daripada konflik dalaman keluarga yang dihadapi pasangan tersebut. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan. Bagaimanapun, suspek yang dibawa ke balai polis kemudian memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Gambir. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke rumah suspek dan mendapati isteri suspek telah meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Sebelum ini, katanya, s...

VIDEO: Kena Serang Dihadpan Rumah Kena Pukul Depan Bini

Alor Setar, 20 April — Seorang individu mendakwa telah diserang oleh beberapa individu dalam satu kejadian yang berlaku sekitar jam 7 petang di hadapan rumahnya di Taman Mas Merah, Alor Setar, Kedah. Menurut mangsa, insiden tersebut berpunca daripada salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas mangsa menegur isteri salah seorang pelaku berhubung tindakan memotong kenderaan secara mengejut untuk memasuki simpang. Kejadian itu berlaku di hadapan ahli keluarga mangsa dan bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, malah meninggalkan trauma yang mendalam. Mangsa menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa, apatah lagi di kawasan kediaman sendiri yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat. Rakaman kejadian melalui kamera litar tertutup (CCTV) telah diperoleh dan satu laporan polis telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mangsa turut memaklumkan bahawa semua bukti berkaitan telah diserahkan dan beliau bersedia memberi kerjasa...