Saya Akan Jumpa Perdana Menteri India Minta Zakir Naik Diusir


Anggota Parlimen DAP, M Kulasegaran yang merupakan Menteri Sumber Manusia, berkata isu Dr Zakir Naik berkenaan telah dibincangkan semasa mesyuarat kabinet Rabu lalu.

Menurut laporan Malaysiakini, Kulasegaran berkata, Isu ini dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet terakhir oleh (Menteri Komunikasi dan Multimedia) Gobind Singh Deo, (Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli) Xavier Jayakumar dan saya sendiri.

"Kami, tidak seperti kerajaan BN sebelum ini, membangkitkan perkara itu dalam kabinet. Kami membincangkannya dan menyimpulkan bahawa kami akan bertanya peguam negara jika ada permintaan rasmi dari India," katanya.

Kulasegan berkata sebaik sahaja kerajaan India membuat permintaan pengusiran, Putrajaya akan mematuhi undang-undang.

"Intinya ialah kerajaan India mesti membuat permintaan itu.

"Inilah cara yang betul untuk melakukan sesuatu, tidak wajar bagi kerajaan mahupun individu memutuskan perkara ini. Ia harus diputuskan oleh undang-undang di mahkamah kerana mereka mempunyai kewajiban untuk melaksanakan keadilan," tambahnya.

Bagaimanapun kenyataan Kulasegaran itu bercanggah dengan pendirian Dr Mahathir sebelum ini yang mengatakan kerajaan tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan untuk menghantar pulang Zakir ke India.

Kulasegaran berkata beliau akan membangkitkan perkara itu dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi sekiranya berkesempatan berkunjung ke negara itu.

Sebelum Pakatan Harapan (HARAPAN) membentuk kerajaan, anggota parlimen DAP itu lantang mengkritik keputusan kerajaan BN memberikan status Penduduk Tetap kepada Zakir dan menuntut penceramah itu diusir.

"Dia banyak bercakap dengan menimbulkan kebencian di negara ini dan di tempat lain. Dia membandingkan satu agama dengan yang lain, dia mengkritik agama lain. Dia menyakitkan perasaan orang lain.

"Malaysia adalah negara berbilang kaum dan dia harus menghormati ini. Dia tidak boleh dibenarkan tinggal di sini ramai orang terpengaruh olehnya untuk terlibat dalam kegiatan pengganas.

"Dia harus diusir ke India untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram dan kebencian," kata Kulasegaran.

Minggu lalu, media India melaporkan Kementerian Hal Ehwal Luar republik itu telah membuat permintaan rasmi kepada Putrajaya agar Zakir dihantar pulang. - Malaysiakini