Tun Dr Mahathir Kata, Khairy Jamaluddin Calon Terbaik Jadi Presiden Umno.


Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin adalah calon terbaik untuk menerajui parti itu.

Tanpa mengulas lanjut, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu membayangkan Khairy merupakan calon yang layak memegang jawatan tersebut berikutan keadaan Umno kini yang dilihat kucar-kacir sehingga tidak dapat menentukan hala tuju perjuangan parti.

“Saya rasa Khairy calon terbaik... (jawatan) Presiden Umno ialah Khairy Jamaluddin,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis HARAPAN Kedah di Seri Mentaloon di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi HARAPAN negeri Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan pimpinan pakatan itu.

Pada 22 Mei lepas, pemangku Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan semua jawatan yang ada mengikut perlembagaan Umno adalah terbuka dan bebas untuk dipertandingkan termasuk presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan ketua sayap pada pemilihan parti yang dijadualkan hujung bulan ini.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Umno mengalami kekalahan teruk dengan Barisan Nasional (BN) yang diterajuinya kehilangan kuasa di peringkat pusat selepas enam dekad mentadbir negara.

Sebelum ini Khairy Jamaluddin dikatakan akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan jawatan parti itu.

Perkara itu disahkan sumber terdekat dengan Ahli Parlimen Rembau itu.

Ia sekaligus menafikan desas-desus bahawa Khairy akan bertanding bagi jawatan Presiden atau Timbalan Presiden UMNO.

Pada 22 Mei lalu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebulat suara bersetuju supaya semua jawatan di peringkat tertinggi parti itu dipertandingkan.