Skip to main content

3 Beradik Maut... Hilang Sekelip Mata 😭


KUANTAN - Permintaan dua beradik untuk membeli aiskrim buat kali terakhir menjadi kenangan sukar dilupakan buat ibu dan bapanya apabila kedua-duanya bersama seorang lagi anak lelaki mereka maut dalam kemalangan di Jalan Benta-Lamir berhampiran Kampung Langgar, pada Sabtu.

Dalam nahas kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, penunggang motosikal, Nik Ikram Idwan Nik Mohd Khairul Hisyam, 15, dan dua adiknya, Nik Nur Faqihah, 11, serta Nik Ikram Nuqman, 5, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bapanya, Nik Mohd Khairul Hisyam Derahman, 41, berkata, Nik Nur Faqihah dan anak bongsunya, Nik Ikram Nuqman merayu kepada ibunya, Nur Baizura Mustafa, 33, supaya memberi sedikit wang untuk membeli aiskrim pada hari kejadian.

Menurutnya, Nik Nur Faqihah memberitahu itu adalah permintaan terakhir daripada mereka berdua.

"Nik Nur Faqihah kata, hari ini (Sabtu) last (terakhir) saya hendak makan aiskrim manakala adiknya (Nik Ikram Nuqman) pula merayu-rayu dan meminta izin dengan ibunya untuk pergi ke kedai.

"Dua beradik itu kemudian bersama abangnya (Nik Ikram Idwan) menaiki motosikal untuk membeli aiskrim di sebuah kedai namun ketika dalam perjalanan balik motosikal ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kereta," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pekan pada Ahad.

Dia yang bekerja sebagai pemotong rumput mendapat tahu mengenai permintaan terakhir dua anaknya itu daripada Nur Baizura.

Nik Mohd Khairul Hisyam berkata, berita mengenai kemalangan maut membabitkan ketiga-tiga anaknya diketahui selepas menerima panggilan telefon daripada isterinya pada jam 1 tengah hari Sabtu ketika sedang bekerja.

"Bila isteri cakap tiga anak kita sudah tiada, saya ingat dia (isteri) main-main, tetapi selepas melihat gambar anak-anak terbaring atas jalan, saya rasa hiba dan sedih.

"Selepas itu, saya bergegas pulang dan tidak dibenarkan untuk melihat anak-anak yang kaku di atas jalan raya," ujarnya dengan nada sebak.

Bagaimanapun, anak kelahiran Besut Terengganu itu mengakui reda dengan pemergian ketiga-tiga anaknya, namun terselit rasa terkilan kerana tidak dapat melihat Nik Ikram Idwan menyambungkan semula persekolahan selepas Hari Raya Aidiladha.

Katanya, segala kelengkapan seperti pakaian, kasut sudah dibeli dan proses pendaftaran sekolah sedang dilaksanakan.

"Dia ( Nik Ikram Idwan) beli motosikal dengan usaha sendiri semata-mata untuk memudahkan ke sekolah, tapi ALLAH lebih menyayanginya," katanya.

Pada Sabtu kira kira jam 12.30 tengah hari tiga beradik, Nik Ikram Idwan dan dua adiknya, Nik Nur Faqihah, dan Nik Ikram Nuqman maut apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7, Jalan Benta-Lamir, berhampiran Kampung Langgar.

Ketiga-tiga jenazah dijangka akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu, Pekan pada Ahad. - Sinar Harian 

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO: Kena Serang Dihadpan Rumah Kena Pukul Depan Bini

Alor Setar, 20 April — Seorang individu mendakwa telah diserang oleh beberapa individu dalam satu kejadian yang berlaku sekitar jam 7 petang di hadapan rumahnya di Taman Mas Merah, Alor Setar, Kedah. Menurut mangsa, insiden tersebut berpunca daripada salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas mangsa menegur isteri salah seorang pelaku berhubung tindakan memotong kenderaan secara mengejut untuk memasuki simpang. Kejadian itu berlaku di hadapan ahli keluarga mangsa dan bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, malah meninggalkan trauma yang mendalam. Mangsa menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa, apatah lagi di kawasan kediaman sendiri yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat. Rakaman kejadian melalui kamera litar tertutup (CCTV) telah diperoleh dan satu laporan polis telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mangsa turut memaklumkan bahawa semua bukti berkaitan telah diserahkan dan beliau bersedia memberi kerjasa...