Ibu Dalam Pantang Ditemukan Mati Dengan Kesan Tikaman Di Leher


BACHOK: Seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang ditemukan mati dengan pisau tertusuk di leher di dalam bilik rumahnya di Kampung Beris, Panchor, di sini pada Rabu.

Wanita berusia 35 tahun itu ditemui berlumuran darah dengan pisau masih terbenam di lehernya sekitar jam 6 petang.


Kejadian berkenaan disedari adik mangsa, Wan Muhamad Nasir Wan Mahadi selepas memanjat dan melihat wanita berkenaan dalam biliknya yang dikunci dari dalam.
 
"Saya ambil tangga nampak keluar darah. Saya masuk pecahkan pintu.

"Anaknya ada di luar bersama ibu. Saya terus hubungi ambulans," katanya.

Selepas melihat keadaan kakaknya berlumuran darah, dia memecahkan pintu bilik sebelum menghubungi ambulans.

Menurut Wan Muhamad Nasir lagi, kakaknya masih berpantang selama 36 hari selepas melahirkan anak yang semasa kejadian, berada bersama ibunya.

Sebelum kejadian mangsa dikatakan berbual menerusi telefon dengan suaminya yang bertugas di Kedah.
Ibu mangsa, Zuraizah Mat, 58, sempat melihat mangsa mengambil sebilah pisau di dapur sebelum memasuki bilik sekitar jam 4 petang.

Wan Muhamad Nasir berkata, dia sendiri mencabut pisau sepanjang 16 sentimeter yang terbenam di leher kakaknya sebelum menghubungi Klinik Kesihatan Beris.

Mangsa dikatakan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan ketika membuat pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZ II), Kota Bharu untuk proses bedah siasat.

Mangsa mempunyai empat orang anak dengan terbaharu berusia 36 hari.

* Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi. Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders. Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri. Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.