NGO Gesa Campur Tangan Perdana Menteri

Pengerusi Semboyan dan Pengerusi PAKIN sedang melihat laporan polis yang di buat ibu mangsa

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa campur tangan Perdana Menteri menyelesaikan isu ratusan rakyat Malaysia yang dieksploitasi sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

Mereka berpendapat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perlu menyelesaikan isu itu bersama ketua negara ASEAN lain berikutan sindiket terbabit dilihat kebal, dipercayai dilindungi pihak berkuasa Myanmar walaupun banyak laporan sudah dibuat.

Setiausaha Agong Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata Kementerian Luar juga perlu memberi teguran kepada pihak Kedutaan Myanmar, yang seolah-olah tidak memberi kerjasama berkaitan isu itu.

"Ada keluarga mangsa yang cuba mendapatkan bantuan dan maklum balas pihak kedutaan (Myanmar) di sini, namun tidak dilayan.

"Justeru, kita minta Perdana Menteri campur tangan kerana dipercayai ratusan rakyat Malaysia yang ditipu sindiket dalam talian ini, diseksa dan dipaksa bekerja, malah ada yang jadi pelacur," katanya ketika ditemui pemberita di luar Kedutaan Myanmar di Jalan Ampang Hilir, di sini, hari ini.

Beliau ditemui ketika berkumpul secara aman di hadapan Kedutaan Myanmar di Malaysia sebelum menyerahkan memorandum, yang turut disertai wakil MHO yang lain, Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM), Pertubuhan Arah Kebajikan Insan Malaysia (PAKIN) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, mangsa perlu membayar RM50,000 hingga RM100,000 sebagai wang tebusan, jika mahu dibebaskan sindiket berkenaan.

Setakat ini, beliau berkata, pihaknya menerima 16 laporan daripada keluarga mangsa yang terperangkap di Myamnar dan menjangka ramai lagi yang akan tampil membuat aduan.

Sementara itu, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan, berkata beliau akan menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui meja ASEAN di Bukit Aman dalam usaha menyelamatkan mangsa.

"Saya akan menyerahkan maklumat memandangkan wakil polis ASEAN ada di Bukit Aman, malah menjadi kewajipan kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang menghadapi masalah atau dijadikan mangsa jenayah.

"Diharap PDRM juga akan membantu untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya. - Berita Harian Online