Darurat Tidak Perlu, Ramai Takut Nak Bersuara - Tun Mahathir


Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa ramai pihak berpandangan darurat yang dilaksanakan sejak 11 Januari lalu adalah tidak perlu.

Bagaimanapun bekas perdana menteri itu berkata mereka berada dalam ketakutan untuk menyuarakan pendapat mereka.

"Mereka jelaskan tetapi ternampak mereka dalam ketakutan, mereka rendah suara sambil memandang sekeliling mereka dan mereka pun pesan jangan bagi tahu sesiapa berkenaan pendapat mereka.

"Mereka takut kerana Kerajaan penuh kuasa dan boleh buat apa sahaja kepada mereka, denda sebanyak RM5 juta dan penjara 10 tahun serta tidak boleh dapat perlindungan undang-undang," tulis Dr Mahathir di blognya, chedet.cc, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata beliau cuba menjelaskan bahawa kerajaan tidak boleh berbuat demikian namun pihak yang menemuinya itu tetap berasa bimbang.

"Disuruh tandatangan surat rayuan supaya darurat ditarik balik, mereka tolak," ujarnya.

Sebelum ini, Dr Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak perlu diletakkan di bawah darurat buat masa ini kerana kerajaan mempunyai kuasa mencukupi untuk membendung COVID-19.

Menurutnya, kerajaan boleh menangani penularan COVID-19 dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, justeru proklamasi darurat tidak diperlukan. - Astro AWANI