Powered by Blogger.

Saturday, May 2, 2020

Bayi Enam Bulan Maut Perodua Myvi Dipandu Bapa Terbabas

Seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut selepas kereta yang dipandu bapanya terbabas di Tanjung Aur, Bota hari ini. - Foto PDRM
PARIT - Seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut selepas kereta yang dipandu bapanya terbabas di KM4, Jalan Bota Kiri - Tanjung Belanja berhampiran Tanjung Aur di sini hari ini.

Nahas sekitar jam 8.15 malam itu menyebabkan mangsa, Afham Faiq Azrul Amir meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku akibat terbabas sendiri.

“Siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki tiga beranak itu dalam perjalanan dari Kampung Paloh hendak pulang ke rumah mereka di Seri Iskandar.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam parit,” katanya.

Seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut selepas kereta yang dipandu bapanya terbabas di Tanjung Aur, Bota hari ini. - Foto PDRM

Menurutnya, impak kemalangan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Changkat Melintang.

“Dalam kejadian itu, ibu bapa mangsa yang berusia 29 tahun hanya mengalami luka-luka seluruh badan.

“Bedah siasat mangsa akan dijalankan di hospital sama esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - Sinar Harian