Powered by Blogger.

Saturday, April 25, 2020

UMNO Tidak Pernah Menyertai PN Kerana PN Bukan Politik Yang Berdaftar

Mohamad Hasan: Umno's 'bodoh sombong' members have cost party ...
SEREMBAN: UMNO tidak berada dalam dilema susulan penyertaan parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata UMNO tidak pernah menyertai PN kerana PN bukan satu entiti politik yang berdaftar seperti Barisan Nasional (BN).

"Hubungan UMNO dengan PN hanyalah satu persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu dalam Pakatan Harapan (PH).

"Secara mudahnya, ia adalah persefahaman untuk membentuk kerajaan dan mentadbir Malaysia kerana kegagalan PH.

"Persefahaman ini berbeza dengan kerjasama politik UMNO dengan Pas yang dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN)," katanya.

Mohamad berkata, kerjasama UMNO dan PAS diurus secara rasmi melalui Piagam MN dan sudah melalui pelbagai proses sumbang saran, termasuk dibincangkan di Perhimpunan Agung UMNO sebelum piagam berkenaan dimeterai.

"UMNO juga mempunyai kerjasama politik yang mengikat antara MCA, MIC serta PBRS melalui BN," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Beliau memberikan kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming dalam suatu saluran media dalam talian semalam.

Kian Ming dilaporkan berkata, UMNO mungkin menghadapi dilema dalam PN yang mana kemungkinan parti Melayu itu akan meninggalkan PN dalam pilihan raya akan datang.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, UMNO dan Pas serta UMNO dan BN mempunyai perjanjian kerjasama politik yang teratur, kemas dan terikat.

Beliau berkata, matlamatnya ialah untuk membentuk kerjasama politik dan memenangi pilihanraya sebagai sebuah gabungan (coalition).

"Tetapi jika tidak berjaya sekalipun, kerjasama politik itu akan tetap kekal dan berfungsi. Kerjasama ini diterjemahkan melalui pelbagai aktiviti, projek dan program politik bersama di pelbagai peringkat agar MN dan BN semakin mengukuh.

"Justeru, UMNO tidak akan menghadapi apa jua dilema tentang kedudukannya dalam PN, malah ia tidak mempunyai apa-apa perjanjian dalam bentuk apa jua dengan PN apatah lagi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS)," katanya.

Mohamad berkata, penyertaan UMNO dalam kerajaan PN adalah atas dasar mendukung Tan Sri Muhyiddin Mohamad Yassin sebagai Perdana Menteri, untuk menyelesaikan kemelut politik Malaysia.

Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, sebagai parti politik, tugas dan fokus UMNO ketika ini ialah untuk menyediakan parti bagi memenangi pilihanraya akan datang bersama rakannya dalam MN dan BN.

"UMNO akan terus menjadi parti politik Melayu terbesar di negara ini dan insya-Allah, parti ini akan memenangi paling banyak kerusi dalam pilihanraya umum seperti lazimnya.

"Bagaimana UMNO ingin melakukannya? Itu adalah urusan dan strategi dalaman UMNO dengan sekutunya iaitu PAS dan BN," katanya.

Katanya lagi, sebagai parti politik Melayu terbesar, UMNO mesti bertanding di semua kerusi tradisionalnya dan kerusi yang sangat berpotensi untuk menang.

Mohamad juga berkata, kekuatan UMNO adalah di kawasan 'the Malay heartland' dan ia akan menguatkan pengaruh, keterlihatan dan khidmatnya di semua kawasan terbabit.

Beliau berkata, menerusi dukungan jutaan ahli parti, orang Melayu serta seluruh rakyat Malaysia, UMNO akan bekerja keras untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi.

"Menerusi pendekatan itu, UMNO boleh menjadi parti dengan majoriti terbesar di Parlimen dan memimpin kerajaan seperti sebelumnya," katanya.

Dalam pada itu, tegas beliau lagi, UMNO sangat mengalu-alukan kerjasama, tetapi mestilah dengan keikhlasan dan kesediaan mereka untuk menyertai MN ataupun BN.

"UMNO sangat menghargai setiakawan rakan," katanya. - Berita Harian Online