Drama Siri "Messiah" Diharamkan, Didakwa Mengandungi Sentimen Anti-Islam

Drama siri bergenre thriller, Messiah dibatalkan oleh siaran berbayar Netflix hanya selepas bersiaran selama satu musim.

Naskhah bersiri itu dibintangi Michelle Monaghan, yang menjayakan watak sebagai agen dari Central Intteligence Agency (CIA). Watak itu ditugaskan untuk menyiasat seorang individu yang dikenali sebagai Al-Masih.

Al-Masih mengumpulkan pengikutnya selepas mendakwa dia dihantar ke bumi oleh kuasa lebih tinggi.

Seorang daripada bintang siri itu, Wil Traval mengesahkan bahawa rancangan berkenaan tidak akan kembali ke perkhidmatan streaming tersebut.

"Ini adalah hari berduka cita. Saya baru menerima berita daripada Netflix bahawa tak akan ada musim kedua untuk Messiah," katanya.

Selepas episod musim pertama disiarkan pada Januari lalu, terdapat beberapa aduan dibuat terhadap drama bersiri berkenaan yang didakwa mengandungi sentimen anti-Islam.

Malah Suruhanjaya Filem Jordan (lokasi beberapa penggambaran dijalankan) menggesa Netflix mengharamkan siri itu di negara berkenaan.

Netflix dalam satu kenyataan berkata, Messiah adalah satu karya berbentuk fiksyen. Ia bukan berdasarkan mana-mana karakter, figura atau agama.

"Kesemua rancangan Netflix mempunyai penarafan dan maklumat yang boleh membantu pelanggannya membuat keputusan sendiri sama ada apa yang boleh atau tak boleh ditonton keluarga mereka," kata kenyataan itu. - Malaysiakini